manusia awesome

Thursday, January 26, 2012

Memori 63


Masa kecil dulu aku suka bercakap di depan kipas yang sedang berputar laju kerana ia akan menukarkan tone suara kita kepada satu tone suara yang cool. Bila bercakap adalah dialog dialog spontan yang konon kononnya best keluar dari mulut aku yang berbibir tebal itu.

Anda boleh cuba aktiviti ini untuk mengisi masa lapang. Tapi janganlah bercakap terlalu dekat takut bibir anda akan terkena kipas yang berputar laju itu. Pasti tidak seronok perasaannya jika terkena.  Selamat mencuba dan selamat beramal.

Thursday, January 19, 2012

Memori 62

Masa kecil dulu ketika hari jadi aku semakin hampir kalau ditanya mahu hadiah apa, aku pasti tidak dapat memikirkan hadiah lain selain majalah kartun/komik.

 Pada aku itu sudah cukup mengembirakan budak kecil berkening lebat seperti aku ini. Dulu majalah kartun/komik adalah antara benda yang jarang aku dapat beli kerana ianya boleh dikirakan sebagai mahal juga untuk keluarga aku untuk dibeli selalu.
Majalah kartun paling aku gemar dulu tidak lain dan tidak bukan ialah Gila Gila.

P/S. Memori 62 ini aku buat pada hari lahir aku yang ke 33 tahun.

Wednesday, January 11, 2012

Memori 61


Masa kecil dulu aku ada sebuah basikal BMX berwarna kuning. Mula mula baru hendak belajar tunggang basikal aku menggunakan 2 roda kecil tambahan yang dipasang pada bahagian belakang basikal.

Ianya supaya aku tidak perlu imbangkan basikal untuk mengayuh kerana dia tetap akan berdiri tegak walau apa keadaan melanda. Apabila sudah pandai sedikit berbasikal salah satu roda kecil itu akan ditanggalkan.Kiranya pembelajaran ke peringkat seterusnyalah. Mula mula agak sukar juga kerana perlu mengimbang imbangkan basikal dari terjatuh.

 Tetapi apabila sudah mahir dan dapat mengayuh penuh yakin entah kenapa tiba tiba aku rasa seperti aku sudah dewasa hanya kerana aku menggunakan sebelah saja roda kecil itu. Lalu depan kawan kawan pun dengan hidung yang boleh tahan kembang.

Friday, January 6, 2012

Memori 60


Masa kecil dulu aku sangat kagum dengan peti sejuk. Aku kagum bukan kerana kesejukkannya atau ke'peti'annya tetapi aku kagum dengan lampu di dalamnya yang akan terpadam setengah saat sebelum pintunya ditutup. Jadi aku yang bijaksana ini pun mulalah menjalankan penyiasatan mengenai misteri ini.

Setiap kali menutup peti sejuk aku akan menutupnya dengan begitu perlahan untuk mencari punca bagaimana lampu boleh terpadam dengan sendiri sebelum ianya ditutup. Agak lama juga aku gagal untuk menemui jawapannya tetapi akhirnya aku berjaya juga. Rupa rupanya sangat mudah membuat lampu itu terpadam. Tidaklah misteri sangat pun. Cis!