manusia awesome

Saturday, December 31, 2011

Memori 59


Masa kecil dulu kami sudah tahu jika besar nanti kami akan jadi orang kaya atau orang miskin. Cara untuk mengetahuinya ialah dengan melihat tapak tangan masing masing.

Jika garisan pada tapak tangan anda seakan akan huruf 'M' itu maknanya bila besar nanti anda akan jadi seorang yang miskin. Tapi seumur hidup aku tidak pernah pula aku jumpa manusia yang ada huruf 'K' pada tapak tangan mereka..

Wednesday, December 28, 2011

Memori 58


Masa kecil dulu jika menaiki kereta aku suka sangat duduk di belakang sambil melihat keluar menerusi cermin belakang.

 Aku sendiri tidak pasti atas sebab musabab apa aku rasa sangat terhibur jika buat begitu.  Kadang kadang adalah orang dari kereta belakang melambai lambai kepada aku. Maklumlah budak comellah katakan (izinkan aku perasan sebentar ye)

Sunday, December 25, 2011

Memori 57


Masa kecil dulu ketika berumur 5 tahun kami sekeluarga tinggal di rumah bawah. Beberapa kali juga rumah aku di naiki air ketika hujan lebat dan menjadi sedikit banjir.

Walaupun banjir sudah beransur surut tetapi masih ada air  bertakung di sudut sudut rumah. Pada pandangan aku pada ketika itu air takungan itu nampak seperti pantai dan air laut. Aku pun tanpa melepaskan peluang terus membuat renang gaya bebas di air yang cetek itu.

 Pada waktu itu laut dan pantai hanya aku pernah tengok di dalam tv jadi terpaksalah aku meminta bantuan imaginasi untuk merasa untuk mandi laut. Kasihan budak Bop itu.

Friday, December 23, 2011

Memori 56


Masa kecil dulu aku seperti kanak kanak lain juga, takut hendak buang air berseorangan ketika malam hari. Mamalah yang menjadi pengiring aku setiap malam jika aku mahu ke tandas.

 Kalau mama tidak ikut aku sampai ke pintu tandas pun tidak menjadi masalah pada aku. Memadai sekadar mama berada di lokasi yang aku boleh nampak mama.

Wednesday, December 21, 2011

Memori 55


Masa kecil dulu jika ke kedai runcit ada satu aktiviti yang aku suka lakukan. Aktiviti ini aku lakukan secara senyap senyap. Mama pun tidak tahu tentang aktiviti aku yang satu ini. Bunyi seperti buat perkara jahat sahaja bukan?
Jangan salah faham, sebenarnya jika ke kedai runcit aku sangat suka memasukkan kepala aku ke dalam peti sejuk ais krim dan kemudian menarik nafas di dalamnya. Aku tidak tahu apa sebabnya tetapi aku sangat suka pada bau dan kesejukkan dalam peti itu. Kalau boleh rasa seperti mahu tinggal di dalamnya.

Tuesday, December 20, 2011

Memori 54


Masa kecil dulu aku tergolong dalam spesis budak yang banyak bertanya soalan. Agak jenuh juga mama hendak menjawab soalan soalan aku yang selalunya bertahap 'cepumas' itu.

Lebih membuat mama tension bila aku suka bertanya dengan suara yang agak kuat soalan soalan itu di tempat tempat awam yang ramai orang seperti contoh di dalam bas. Setiap kali sebelum keluar mama berpesan supaya jangan banyak bertanya jika berada di dalam bas dan seperti biasa aku mengangguk tanda faham.

Selepas itu seperti biasa jugalah apabila sudah berada di dalam bas aku tanpa rasa bersalah akan bertanya soalan soalan kepada mama.

Sunday, December 18, 2011

Memori 53


Masa kecil dulu jika ternampak saja kereta 'wak segan'(volkswagen) pasti aku dan kawan kawan akan berebut rebut meletakkan tangan di dahi dan berkata 'Kunci!'

Siapa yang lambat 'kunci' atau tidak perasan yang kereta 'wak segan' berada berhampiran pasti dahi dia akan ditepuk oleh kawan kawan lain. Aku pun tidak pasti dari mana asal usul permainan yang tidak berfaedah ini tetapi yang nyata kami semua akan bermain secara automatik jika ternampak kereta jenis itu.

Memori 52


Masa kecil dulu aku sangat suka bermain dengan bubble warp. Keupayaannya untuk meletup apabila dipicit sangat menghiburkan hati aku. Jika hanya memicit dengan jari pasti ia akan membosankan jadi aku juga cuba beberapa kaedah lain.

Antara kaedahnya ialah memijak bubble wrap itu menggunakan tumit kaki dan memulasnya seperti sedang memulas/memerah baju basah yang mahu disidai di ampaian. Paling seronok sudah tentulah teknik memulas kerana bunyi letupannya akan bertalu talu seperti mesin gun.

p/s- Pada yang tidak pasti apa itu bubble warp, ia adalah plastik yang mempunyai banyak bulat bulat kecil yang selalunya digunakan untuk membungkus barang barang eletronik. Maaf aku tidak pasti apa namanya didalam bahasa melayu.

Friday, December 16, 2011

Memori 51


Masa kecil dulu untuk pertama kalinya mama bawa aku pergi menonton wayang. Aku yang langsung tidak ada pengetahuan apa itu wayang pada ketika itu hanya mengikut sahaja ibubapaku masuk ke dalam bilik gelap yang banyak kerusi itu. Tiba tiba terpampang di depanku sebuah skrin besar yang membuat aku berkata dalam hati "Fuyoo.. Besarnya tv ni".

Mula saja cerita ditayangkan aku nampak pelakonnya semua berbangsa cina dan  semasa pelakon utamanya muncul mama terus memperkenalan pada aku yang itu ialah Jackie Chan. "Jackie Chan? Siapa tu? Kenapa mama perlu kenalkan aku pada Jackie Chan?" Semakin lama aku menonton ceritanya menjadi rancak dan pelbagai aksi berlawan yang belum pernah aku tonton sebelum ini.

 Ianya sungguh membuat aku kagum dan itulah kali pertama aku dikenalkan dengan martial art. Ditambah pula dengan kehebatan luarbiasa Jackie Chan ianya terus membuat aku menjadi peminat martial art hingga kini. Selesai saja menonton baru aku faham kenapa mama memperkenalkan aku pada Jackie Chan. Cerita yang pertama kali aku tonton di wayang itu tidak lain dan tidak bukan ialah PROJECT A.

Memori 50


Masa kecil dulu aku tidak suka makan ikan. Menu kegemaran aku dulu ialah kicap, telur mata kerbau dan telur dadar. Pada aku itulah lauk yang paling sedap atas muka bumi ini. Tapi oleh kerana mama seorang yang bijak dia telah mencipta nasi kepal. Apa itu nasi kepal? Mari aku cerita..

Ketika hendak menyuapkan aku makan mama akan mengepal ngepalkan dulu nasi bercampur dengan ikan dan kicap. Bila nasi sudah dikepal aku menjadi teruja untuk makan kerana suka melihat bentuknya yang seperti bola itu. Bila sudah selesai makan baru tahu ada ikan di dalamnya. Sejak dari itu aku mula menambah ikan goreng sebagai salah satu menu aku. Terima kasih mamaku yang genius

Tuesday, December 13, 2011

Memori 49


Masa kecil dulu Spider-Man adalah antara superhero yang paling aku suka. Spider-Man mendapat kuasa istimewanya selepas dia digigit oleh seekor labah labah radioaktif. Tetapi pada minda muda aku yang masih tidak faham apa apa pada ketika itu menganggap dia hanya digigit oleh seekor labah labah biasa.

Pada suatu hari aku mendapat idea yang konon kononnya bijak. Aku fikir kenapa tidak biarkan tangan aku digigit oleh labah labah dan kemudian dapatlah aku superpower seperti Spider-Man. Apabila terjumpa saja labah labah terus sahaja aku menghulurkan tangan aku untuk digigit. Selepas itu aku terus cuba meletakkan tapak tangan aku pada dinding dan kemudian tarik perlahan lahan tetapi malangnya tangan aku langsung tidak melekat.

p/s- Sebenarnya labah labah itu tidak mengigit pun jari aku. Ia sekadar berjalan di atas jari aku. Aku anggap sajalah dia sudah gigit aku.

Memori 48


Masa kecil dulu aku bukanlah datang dari keluarga yang senang. Makan pakai pun sekadar cukup cukup sahaja.(Alhamdulillah)

Jika ada duit lebih sikit kami sekeluarga suka makan di KFC. Walaupun ianya sekadar sebuah restoran makanan segera tetapi pada aku ketika itu KFC itu adalah restoran mewah kerana jarang sangat kami mampu makan di situ. Setahun boleh kira berapa kali kami sekeluarga makan

Dulu jika makan di KFC aku suka buat burger buatan sendiri dengan menggunakan roti KFC. Sumbatkan ayam, coleslaw, mashed potato dan sedikit sos di tengah tengah roti yang telah dipotong dan hasilnya.. Tadaa!! Seketul burger DIY yang lazat tetapi cepat habis sebab saiznya yang sangat kecil.

p/s  Err..Sebenarnya sekarang pun aku masih mengamalkan aktiviti membuat burger DIY itu.

Friday, December 9, 2011

Memori 47


Masa kecil dulu bila ternampak suratkhabar The Malay Mail aku akan tertanya tanya. Kenapa suratkhabar bahasa inggeris ini menggunakan nama lelaki melayu sebagai namanya? Istimewa sangatkah 'Mail' ini hingga dijadikan nama suratkhabar?

Memori 46


Masa kecil dulu jika aku ingin turut bermain dengan abang abang yang lebih dewasa dari aku pasti mereka akan  berkata "Ok, Kau main' ta ya pa wau' je bob". Pada mulanya aku langsung tidak tahu apakah maksud 'ta ya pa wau' itu. Tetapi oleh kerana hendak turut bermain aku iyakan saja. Jangan salah faham ianya langsung tidak ada kena mengena dengan tayar ataupun permainan wau bulan.

Ta ya pa wau ini sebenarnya lebih kurang bermaksud kita menjadi 'pemain tipu'. Apa saja yang terjadi kepada pemain 'ta ya pa wau' ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada permainan. Senang cakap pemain yang tidak penting langsung sekadar memeriahkan permainan saja. Selalunya budak budak kecil yang belum dianggap mampu untuk bersaing dengan mereka yang dewasa akan menjadi pemain 'ta ya pa wau'.

Tuesday, December 6, 2011

Memori 45



Masa kecil dulu aku selalu keliru dengan banyak perkara. Salah satunya ialah aku keliru untuk mengenal pasti antara pelakon Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan juga pelakon Connie. Pada aku pada ketika itu wajah mereka berdua memang 100% serupa.

Tetapi bila sudah sedikit dewasa aku tengok balik sebenarnya memang tidak serupa langsung. Aku juga pernah terkeliru antara pelakon Ramona Rahman dan Julia Rais. Walaupun pada ketika itu aku tidaklah kecil sangat. Ternyata aku seorang 'pengkeliru' orangnya.

Monday, December 5, 2011

Memori 44


Masa kecil dulu aku tidak tahu kenapa jika membaca majalah kartun aku suka mula membaca dari mukasurat belakang. Tetapi untuk komik yang ceritanya lebih dari 1 mukasurat aku tetaplah kena baca dari awal cerita cuma aku suka mulakan pembacaan dari belakang.
 Nasib baiklah sewaktu berjalan aku tidak jalan mengundur jika tidak sudah pasti aku handal membuat tarian Moonwalk.

Memori 43


Masa kecil dulu jika membaca aku pasti akan membaca dengan mengeluarkan suara. Mama selalu berpesan supaya membaca dalam hati kerana agak pencemaran bunyi bila suara aku yang nyaring ini membaca.

Aku berasa sangat pelik kerana aku tidak faham apa itu 'membaca dalam hati'. Puas juga aku memaksa hati aku untuk membaca tetapi menemui kegagalan. Tidak lama kemudian tanpa aku memaksa dengan sendirinya aku dapat membaca dalam hati.  Baru puas hati aku.

Memori 42


Masa kecil dulu jika mahu tahu apa isi kandung cerita dalam sesebuah komik aku selalu memaksa mama tolong bacakan. Ketika aku sudah mula mampu membaca dengan sendiri aku rasa dunia ini cukup indah sekali. Indah kerana aku sudah boleh ketahui isi cerita dalam komik tanpa bantuan mama lagi.

Jadi tidak perlu tunggu mama habis memasak untuk ketahui isi cerita komik yang aku mahu baca. Pengertian membaca sendiri untuk seorang budak kecil yang sangat minat komik adalah sangat sangat besar. Umpama mendapat hadiah yang sangat hebat.

Saturday, December 3, 2011

Memori 41


Masa kecil dulu aku sangat suka makan kuih kacang. Kuih kacang ini banyak dijual di kedai kedai runcit dengan harga 5 sen sebiji kalau tidak silap aku. Aku tidak tahu nama sebenar makanan itu. Mama mengelarkannya kuih kacang jadi nama itulah yang aku guna hingga kini.

Selalunya mama akan belikan dalam 5 atau  6 biji untuk aku. Tetapi 5,6 biji itu tidak aku habiskan sekali gus kerana aku sayang mahu habiskan makanan yang sedap. Jadi aku akan makan sedikit dan kemudian simpan. Tidak lama selepas itu baru aku akan makan balik dan begitulah seterusnya.

Sekarang mama masih belikan untuk aku. Jika pergi ke rumah beliau selalunya akan ada kuih kacang ini. Jika dulu mama belikan aku 5 atau 6 biji tapi kini mama belikan satu balang terus. Terima kasih mamaku yang comel.

Friday, December 2, 2011

Memori 40


Masa kecil dulu selain menonton tv3 aku juga selalu menonton rancangan rancangan dari RTM, kerana dua stesen tv itu sajalah yang wujud pun pada ketika itu.

Setiap kali dalam perjalanan pergi ke rumah mak cik aku di Shah Alam pasti aku akan ternampak Angkasapuri dari dalam kereta. Mama seperti biasa akan memberi info info yang dia tahu kepada aku. "kalau Bop nak tau ini angkasapuri. Dekat sinilah stesen tv RTM" Begitulah lebih kurang kata kata mama.

Jadi minda muda aku mulalah membuat teori sendiri tanpa merujuk kepada sesiapa dan hasilnya aku merumuskan di dalam Angkasapuri terdapat semua pelakon dan penyanyi Malaysia berkumpul kerana RTM banyak menyiarkan drama dan rancangan hiburan. Fikir aku lagi jika aku masuk ke dalam Angkasapuri pasti aku akan dapat berjumpa dengan mereka semua. Wow! Bestnya.