manusia awesome

Sunday, May 20, 2012

Memori 71


Masa kecil dulu antara perkara yang dapat memberi ketenangan pada aku ialah meniarap atas lantai simen. Terasa nyaman dan sejuk sekali.

Mama pasti akan marah jika ternampak aku buat aktiviti ini. Kata mama tidak bagus untuk kesihatan jika baring atas lantai simen yang tidak beralas. Seperti kebiasaan budak budak aku tetap degil dan akan buat jika ada kesempatan.

Sorry mama..

Memori 70


Masa kecil dulu telur goreng adalah antara lauk wajib aku. Pada aku apasaja makanan yang berkaitan telur ayam adalah sangat sedap

Semasa makan nasi berlauk telur goreng tidak kiralah telur dadar atau telur mata kerbau,aku pasti akan rasa sayang mahu menghabiskan lauk itu kerana kesedapannya yang amat sangat itu. Aku hanya akan makan sedikit sedikit sahaja dan selebihnya aku hanya letak di tepi pinggan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menikmati telur goreng tersebut sebagai penutup hidangan.

Kini aku sudah tidak buat kerja seperti itu lagi. Tetapi telur goreng tetap lauk yang sangat sedap dihatiku.

Saturday, May 12, 2012

Memori 69


Masa kecil dulu kalau naik kereta malam malam pasti akan rasa suspen sikit. Mana tidaknya sepanjang perjalanan aku nampak bulan mengikuti kereta aku. Entah kenapa aku rasa begitu aku pun tidak pasti.

Lagi satu jika pulang ke kampung kami akan melalui jalan yang kiri kanannya hutan yang banyak pokok pokok. Bila berjalan laju pokok pokok itu juga aku nampak seakan mengejar kereta kami.

Memori 68


Masa kecil dulu aku berasa sedikit pelik bila siaran tv tamat. Ouh ya, dulu dulu siaran tv tiada 24 jam seperti sekarang. Sebelum pukul 12 semua siaran akan tutup kedai.

Apa yang memelikkan aku ialah bila siaran tamat akan keluar entah apa logo/gambar pun aku tidak pasti. Pada pemikiran logik aku ketika itu jika siaran sudah tamat kenapa perlu ada logo itu? Kenapa tidak gelap saja. Sebenarnya sampai sekarang aku tidak pasti apa fungsi logo itu. Jadi aku mula membuat andaian yang pandai pandai. Teori aku ketika itu ialah, mungkin siaran sebenarnya tidak tamat lagi. Dan mungkin jika aku tunggu lebih lama akan keluar cerita yang best best. Mungkin yang ganas ganas dan tidak sesuai untuk budak budak menontonnya. Jadi aku pernah juga menunggu untuk kepastian.

Tapi apa yang aku dapat dari hasil penungguan itu ialah mata yang berpinau kerana terlalu lama melihat logo itu

Friday, May 11, 2012

Memori 67


Masa kecil dulu aku sering dimarah mama kerana sering mengenyit-ngenyitkan mata. Ianya memang sesuatu yang pelik kerana perbuatan itu akan berterusan.

Jika aku mula mengenyitkan mata kiri aku akan rasa tidak puas hati jika mata kanan tidak dikenyitkan. Dengan segera aku akan mengenyitkan kanan pula. Ok sekarang perasaan tidak puas hati itu datang lagi bila mata kiri pula rasa seperti perlu dikenyitkan dan begitulah seterusnya. Ya, ianya memang sesuatu yang pelik dan memelikkan. Agak lama juga aku melakukan aktiviti yang aku sendiri tidak faham mengapa ianya terjadi. Lama kelamaan aku berjaya membuang tabiat pelik ini bila mama telah marah aku dengan bertubi tubi. Alhamdulillah. Terima kasih mama.

Jika hingga besar aku masih berperangai begitu sudah pasti aku akan dicop mata keranjang oleh wanita seluruh dunia.