manusia awesome

Sunday, May 20, 2012

Memori 71


Masa kecil dulu antara perkara yang dapat memberi ketenangan pada aku ialah meniarap atas lantai simen. Terasa nyaman dan sejuk sekali.

Mama pasti akan marah jika ternampak aku buat aktiviti ini. Kata mama tidak bagus untuk kesihatan jika baring atas lantai simen yang tidak beralas. Seperti kebiasaan budak budak aku tetap degil dan akan buat jika ada kesempatan.

Sorry mama..

Memori 70


Masa kecil dulu telur goreng adalah antara lauk wajib aku. Pada aku apasaja makanan yang berkaitan telur ayam adalah sangat sedap

Semasa makan nasi berlauk telur goreng tidak kiralah telur dadar atau telur mata kerbau,aku pasti akan rasa sayang mahu menghabiskan lauk itu kerana kesedapannya yang amat sangat itu. Aku hanya akan makan sedikit sedikit sahaja dan selebihnya aku hanya letak di tepi pinggan. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menikmati telur goreng tersebut sebagai penutup hidangan.

Kini aku sudah tidak buat kerja seperti itu lagi. Tetapi telur goreng tetap lauk yang sangat sedap dihatiku.

Saturday, May 12, 2012

Memori 69


Masa kecil dulu kalau naik kereta malam malam pasti akan rasa suspen sikit. Mana tidaknya sepanjang perjalanan aku nampak bulan mengikuti kereta aku. Entah kenapa aku rasa begitu aku pun tidak pasti.

Lagi satu jika pulang ke kampung kami akan melalui jalan yang kiri kanannya hutan yang banyak pokok pokok. Bila berjalan laju pokok pokok itu juga aku nampak seakan mengejar kereta kami.

Memori 68


Masa kecil dulu aku berasa sedikit pelik bila siaran tv tamat. Ouh ya, dulu dulu siaran tv tiada 24 jam seperti sekarang. Sebelum pukul 12 semua siaran akan tutup kedai.

Apa yang memelikkan aku ialah bila siaran tamat akan keluar entah apa logo/gambar pun aku tidak pasti. Pada pemikiran logik aku ketika itu jika siaran sudah tamat kenapa perlu ada logo itu? Kenapa tidak gelap saja. Sebenarnya sampai sekarang aku tidak pasti apa fungsi logo itu. Jadi aku mula membuat andaian yang pandai pandai. Teori aku ketika itu ialah, mungkin siaran sebenarnya tidak tamat lagi. Dan mungkin jika aku tunggu lebih lama akan keluar cerita yang best best. Mungkin yang ganas ganas dan tidak sesuai untuk budak budak menontonnya. Jadi aku pernah juga menunggu untuk kepastian.

Tapi apa yang aku dapat dari hasil penungguan itu ialah mata yang berpinau kerana terlalu lama melihat logo itu

Friday, May 11, 2012

Memori 67


Masa kecil dulu aku sering dimarah mama kerana sering mengenyit-ngenyitkan mata. Ianya memang sesuatu yang pelik kerana perbuatan itu akan berterusan.

Jika aku mula mengenyitkan mata kiri aku akan rasa tidak puas hati jika mata kanan tidak dikenyitkan. Dengan segera aku akan mengenyitkan kanan pula. Ok sekarang perasaan tidak puas hati itu datang lagi bila mata kiri pula rasa seperti perlu dikenyitkan dan begitulah seterusnya. Ya, ianya memang sesuatu yang pelik dan memelikkan. Agak lama juga aku melakukan aktiviti yang aku sendiri tidak faham mengapa ianya terjadi. Lama kelamaan aku berjaya membuang tabiat pelik ini bila mama telah marah aku dengan bertubi tubi. Alhamdulillah. Terima kasih mama.

Jika hingga besar aku masih berperangai begitu sudah pasti aku akan dicop mata keranjang oleh wanita seluruh dunia.

Wednesday, March 21, 2012

Memori 66



Masa kecil dulu kalau naik kereta mesti buka tingkap kerana rata rata kereta dulu tidak ada air cond. Sebagai kanak kanak aku akan pastikan setiap benda yang aku buat itu dapat menghiburkan diri aku. 

Begitu juga ketika sedang menaiki kereta. Apabila kereta sudah mula bergerak dengan laju aku akan keluarkan sebelah tanganku keluar tingkap dan aku mula membuat aksi lagak ngeri yang sangat seronok. Aku akan lalukan tangan aku di celah celah angin ketika kereta sedang laju. 

Pergerakkannya kadang kadang seperti ular pun ada juga aku tengok. Tapi bila tengok sekali lagi sudah seperti penari tradisional pula.

Wednesday, February 15, 2012

Memori 65


Masa kecil dulu jika baring meniarap aku amat berhati hati sekali. Kerana menurut beberapa kawan kawan aku jika kita meniarap jangan sesekali kita angkat kedua belah kaki kita ke atas.

 Jika dilakukan juga kedua ibu bapa kita boleh meninggal. Kadang kadang bila sudah terlalu leka membaca komik aku tidak sedar yang kaki aku bukan saja terangkat malah bergoyang goyang dengan penuh riang ria. Pada ketika itu aku punya panik hanya Allah yang tahu.

Memori 64



Masa kecil dulu tiada siapa berani menuding jari kepada pelangi. Kononnya jika kita tunjuk pelangi mengunakan jari nanti boleh membuatkan jari kita jadi kudung.

Dulu jika mahu tunjuk pelangi aku hanya akan memuncungkan bibirku yang seksi ini ke arah pelangi itu. Sekarang apabila sudah dewasa jika aku menuding jari ke arah pelangi akan ada sedikit perasaan pelik. Mungkin masih terbawa bawa perasaan takut semasa kecil dulu.

Thursday, January 26, 2012

Memori 63


Masa kecil dulu aku suka bercakap di depan kipas yang sedang berputar laju kerana ia akan menukarkan tone suara kita kepada satu tone suara yang cool. Bila bercakap adalah dialog dialog spontan yang konon kononnya best keluar dari mulut aku yang berbibir tebal itu.

Anda boleh cuba aktiviti ini untuk mengisi masa lapang. Tapi janganlah bercakap terlalu dekat takut bibir anda akan terkena kipas yang berputar laju itu. Pasti tidak seronok perasaannya jika terkena.  Selamat mencuba dan selamat beramal.

Thursday, January 19, 2012

Memori 62

Masa kecil dulu ketika hari jadi aku semakin hampir kalau ditanya mahu hadiah apa, aku pasti tidak dapat memikirkan hadiah lain selain majalah kartun/komik.

 Pada aku itu sudah cukup mengembirakan budak kecil berkening lebat seperti aku ini. Dulu majalah kartun/komik adalah antara benda yang jarang aku dapat beli kerana ianya boleh dikirakan sebagai mahal juga untuk keluarga aku untuk dibeli selalu.
Majalah kartun paling aku gemar dulu tidak lain dan tidak bukan ialah Gila Gila.

P/S. Memori 62 ini aku buat pada hari lahir aku yang ke 33 tahun.

Wednesday, January 11, 2012

Memori 61


Masa kecil dulu aku ada sebuah basikal BMX berwarna kuning. Mula mula baru hendak belajar tunggang basikal aku menggunakan 2 roda kecil tambahan yang dipasang pada bahagian belakang basikal.

Ianya supaya aku tidak perlu imbangkan basikal untuk mengayuh kerana dia tetap akan berdiri tegak walau apa keadaan melanda. Apabila sudah pandai sedikit berbasikal salah satu roda kecil itu akan ditanggalkan.Kiranya pembelajaran ke peringkat seterusnyalah. Mula mula agak sukar juga kerana perlu mengimbang imbangkan basikal dari terjatuh.

 Tetapi apabila sudah mahir dan dapat mengayuh penuh yakin entah kenapa tiba tiba aku rasa seperti aku sudah dewasa hanya kerana aku menggunakan sebelah saja roda kecil itu. Lalu depan kawan kawan pun dengan hidung yang boleh tahan kembang.

Friday, January 6, 2012

Memori 60


Masa kecil dulu aku sangat kagum dengan peti sejuk. Aku kagum bukan kerana kesejukkannya atau ke'peti'annya tetapi aku kagum dengan lampu di dalamnya yang akan terpadam setengah saat sebelum pintunya ditutup. Jadi aku yang bijaksana ini pun mulalah menjalankan penyiasatan mengenai misteri ini.

Setiap kali menutup peti sejuk aku akan menutupnya dengan begitu perlahan untuk mencari punca bagaimana lampu boleh terpadam dengan sendiri sebelum ianya ditutup. Agak lama juga aku gagal untuk menemui jawapannya tetapi akhirnya aku berjaya juga. Rupa rupanya sangat mudah membuat lampu itu terpadam. Tidaklah misteri sangat pun. Cis!

Saturday, December 31, 2011

Memori 59


Masa kecil dulu kami sudah tahu jika besar nanti kami akan jadi orang kaya atau orang miskin. Cara untuk mengetahuinya ialah dengan melihat tapak tangan masing masing.

Jika garisan pada tapak tangan anda seakan akan huruf 'M' itu maknanya bila besar nanti anda akan jadi seorang yang miskin. Tapi seumur hidup aku tidak pernah pula aku jumpa manusia yang ada huruf 'K' pada tapak tangan mereka..

Wednesday, December 28, 2011

Memori 58


Masa kecil dulu jika menaiki kereta aku suka sangat duduk di belakang sambil melihat keluar menerusi cermin belakang.

 Aku sendiri tidak pasti atas sebab musabab apa aku rasa sangat terhibur jika buat begitu.  Kadang kadang adalah orang dari kereta belakang melambai lambai kepada aku. Maklumlah budak comellah katakan (izinkan aku perasan sebentar ye)

Sunday, December 25, 2011

Memori 57


Masa kecil dulu ketika berumur 5 tahun kami sekeluarga tinggal di rumah bawah. Beberapa kali juga rumah aku di naiki air ketika hujan lebat dan menjadi sedikit banjir.

Walaupun banjir sudah beransur surut tetapi masih ada air  bertakung di sudut sudut rumah. Pada pandangan aku pada ketika itu air takungan itu nampak seperti pantai dan air laut. Aku pun tanpa melepaskan peluang terus membuat renang gaya bebas di air yang cetek itu.

 Pada waktu itu laut dan pantai hanya aku pernah tengok di dalam tv jadi terpaksalah aku meminta bantuan imaginasi untuk merasa untuk mandi laut. Kasihan budak Bop itu.

Friday, December 23, 2011

Memori 56


Masa kecil dulu aku seperti kanak kanak lain juga, takut hendak buang air berseorangan ketika malam hari. Mamalah yang menjadi pengiring aku setiap malam jika aku mahu ke tandas.

 Kalau mama tidak ikut aku sampai ke pintu tandas pun tidak menjadi masalah pada aku. Memadai sekadar mama berada di lokasi yang aku boleh nampak mama.

Wednesday, December 21, 2011

Memori 55


Masa kecil dulu jika ke kedai runcit ada satu aktiviti yang aku suka lakukan. Aktiviti ini aku lakukan secara senyap senyap. Mama pun tidak tahu tentang aktiviti aku yang satu ini. Bunyi seperti buat perkara jahat sahaja bukan?
Jangan salah faham, sebenarnya jika ke kedai runcit aku sangat suka memasukkan kepala aku ke dalam peti sejuk ais krim dan kemudian menarik nafas di dalamnya. Aku tidak tahu apa sebabnya tetapi aku sangat suka pada bau dan kesejukkan dalam peti itu. Kalau boleh rasa seperti mahu tinggal di dalamnya.

Tuesday, December 20, 2011

Memori 54


Masa kecil dulu aku tergolong dalam spesis budak yang banyak bertanya soalan. Agak jenuh juga mama hendak menjawab soalan soalan aku yang selalunya bertahap 'cepumas' itu.

Lebih membuat mama tension bila aku suka bertanya dengan suara yang agak kuat soalan soalan itu di tempat tempat awam yang ramai orang seperti contoh di dalam bas. Setiap kali sebelum keluar mama berpesan supaya jangan banyak bertanya jika berada di dalam bas dan seperti biasa aku mengangguk tanda faham.

Selepas itu seperti biasa jugalah apabila sudah berada di dalam bas aku tanpa rasa bersalah akan bertanya soalan soalan kepada mama.

Sunday, December 18, 2011

Memori 53


Masa kecil dulu jika ternampak saja kereta 'wak segan'(volkswagen) pasti aku dan kawan kawan akan berebut rebut meletakkan tangan di dahi dan berkata 'Kunci!'

Siapa yang lambat 'kunci' atau tidak perasan yang kereta 'wak segan' berada berhampiran pasti dahi dia akan ditepuk oleh kawan kawan lain. Aku pun tidak pasti dari mana asal usul permainan yang tidak berfaedah ini tetapi yang nyata kami semua akan bermain secara automatik jika ternampak kereta jenis itu.

Memori 52


Masa kecil dulu aku sangat suka bermain dengan bubble warp. Keupayaannya untuk meletup apabila dipicit sangat menghiburkan hati aku. Jika hanya memicit dengan jari pasti ia akan membosankan jadi aku juga cuba beberapa kaedah lain.

Antara kaedahnya ialah memijak bubble wrap itu menggunakan tumit kaki dan memulasnya seperti sedang memulas/memerah baju basah yang mahu disidai di ampaian. Paling seronok sudah tentulah teknik memulas kerana bunyi letupannya akan bertalu talu seperti mesin gun.

p/s- Pada yang tidak pasti apa itu bubble warp, ia adalah plastik yang mempunyai banyak bulat bulat kecil yang selalunya digunakan untuk membungkus barang barang eletronik. Maaf aku tidak pasti apa namanya didalam bahasa melayu.