manusia awesome

Saturday, December 31, 2011

Memori 59


Masa kecil dulu kami sudah tahu jika besar nanti kami akan jadi orang kaya atau orang miskin. Cara untuk mengetahuinya ialah dengan melihat tapak tangan masing masing.

Jika garisan pada tapak tangan anda seakan akan huruf 'M' itu maknanya bila besar nanti anda akan jadi seorang yang miskin. Tapi seumur hidup aku tidak pernah pula aku jumpa manusia yang ada huruf 'K' pada tapak tangan mereka..

Wednesday, December 28, 2011

Memori 58


Masa kecil dulu jika menaiki kereta aku suka sangat duduk di belakang sambil melihat keluar menerusi cermin belakang.

 Aku sendiri tidak pasti atas sebab musabab apa aku rasa sangat terhibur jika buat begitu.  Kadang kadang adalah orang dari kereta belakang melambai lambai kepada aku. Maklumlah budak comellah katakan (izinkan aku perasan sebentar ye)

Sunday, December 25, 2011

Memori 57


Masa kecil dulu ketika berumur 5 tahun kami sekeluarga tinggal di rumah bawah. Beberapa kali juga rumah aku di naiki air ketika hujan lebat dan menjadi sedikit banjir.

Walaupun banjir sudah beransur surut tetapi masih ada air  bertakung di sudut sudut rumah. Pada pandangan aku pada ketika itu air takungan itu nampak seperti pantai dan air laut. Aku pun tanpa melepaskan peluang terus membuat renang gaya bebas di air yang cetek itu.

 Pada waktu itu laut dan pantai hanya aku pernah tengok di dalam tv jadi terpaksalah aku meminta bantuan imaginasi untuk merasa untuk mandi laut. Kasihan budak Bop itu.

Friday, December 23, 2011

Memori 56


Masa kecil dulu aku seperti kanak kanak lain juga, takut hendak buang air berseorangan ketika malam hari. Mamalah yang menjadi pengiring aku setiap malam jika aku mahu ke tandas.

 Kalau mama tidak ikut aku sampai ke pintu tandas pun tidak menjadi masalah pada aku. Memadai sekadar mama berada di lokasi yang aku boleh nampak mama.

Wednesday, December 21, 2011

Memori 55


Masa kecil dulu jika ke kedai runcit ada satu aktiviti yang aku suka lakukan. Aktiviti ini aku lakukan secara senyap senyap. Mama pun tidak tahu tentang aktiviti aku yang satu ini. Bunyi seperti buat perkara jahat sahaja bukan?
Jangan salah faham, sebenarnya jika ke kedai runcit aku sangat suka memasukkan kepala aku ke dalam peti sejuk ais krim dan kemudian menarik nafas di dalamnya. Aku tidak tahu apa sebabnya tetapi aku sangat suka pada bau dan kesejukkan dalam peti itu. Kalau boleh rasa seperti mahu tinggal di dalamnya.

Tuesday, December 20, 2011

Memori 54


Masa kecil dulu aku tergolong dalam spesis budak yang banyak bertanya soalan. Agak jenuh juga mama hendak menjawab soalan soalan aku yang selalunya bertahap 'cepumas' itu.

Lebih membuat mama tension bila aku suka bertanya dengan suara yang agak kuat soalan soalan itu di tempat tempat awam yang ramai orang seperti contoh di dalam bas. Setiap kali sebelum keluar mama berpesan supaya jangan banyak bertanya jika berada di dalam bas dan seperti biasa aku mengangguk tanda faham.

Selepas itu seperti biasa jugalah apabila sudah berada di dalam bas aku tanpa rasa bersalah akan bertanya soalan soalan kepada mama.

Sunday, December 18, 2011

Memori 53


Masa kecil dulu jika ternampak saja kereta 'wak segan'(volkswagen) pasti aku dan kawan kawan akan berebut rebut meletakkan tangan di dahi dan berkata 'Kunci!'

Siapa yang lambat 'kunci' atau tidak perasan yang kereta 'wak segan' berada berhampiran pasti dahi dia akan ditepuk oleh kawan kawan lain. Aku pun tidak pasti dari mana asal usul permainan yang tidak berfaedah ini tetapi yang nyata kami semua akan bermain secara automatik jika ternampak kereta jenis itu.

Memori 52


Masa kecil dulu aku sangat suka bermain dengan bubble warp. Keupayaannya untuk meletup apabila dipicit sangat menghiburkan hati aku. Jika hanya memicit dengan jari pasti ia akan membosankan jadi aku juga cuba beberapa kaedah lain.

Antara kaedahnya ialah memijak bubble wrap itu menggunakan tumit kaki dan memulasnya seperti sedang memulas/memerah baju basah yang mahu disidai di ampaian. Paling seronok sudah tentulah teknik memulas kerana bunyi letupannya akan bertalu talu seperti mesin gun.

p/s- Pada yang tidak pasti apa itu bubble warp, ia adalah plastik yang mempunyai banyak bulat bulat kecil yang selalunya digunakan untuk membungkus barang barang eletronik. Maaf aku tidak pasti apa namanya didalam bahasa melayu.

Friday, December 16, 2011

Memori 51


Masa kecil dulu untuk pertama kalinya mama bawa aku pergi menonton wayang. Aku yang langsung tidak ada pengetahuan apa itu wayang pada ketika itu hanya mengikut sahaja ibubapaku masuk ke dalam bilik gelap yang banyak kerusi itu. Tiba tiba terpampang di depanku sebuah skrin besar yang membuat aku berkata dalam hati "Fuyoo.. Besarnya tv ni".

Mula saja cerita ditayangkan aku nampak pelakonnya semua berbangsa cina dan  semasa pelakon utamanya muncul mama terus memperkenalan pada aku yang itu ialah Jackie Chan. "Jackie Chan? Siapa tu? Kenapa mama perlu kenalkan aku pada Jackie Chan?" Semakin lama aku menonton ceritanya menjadi rancak dan pelbagai aksi berlawan yang belum pernah aku tonton sebelum ini.

 Ianya sungguh membuat aku kagum dan itulah kali pertama aku dikenalkan dengan martial art. Ditambah pula dengan kehebatan luarbiasa Jackie Chan ianya terus membuat aku menjadi peminat martial art hingga kini. Selesai saja menonton baru aku faham kenapa mama memperkenalkan aku pada Jackie Chan. Cerita yang pertama kali aku tonton di wayang itu tidak lain dan tidak bukan ialah PROJECT A.

Memori 50


Masa kecil dulu aku tidak suka makan ikan. Menu kegemaran aku dulu ialah kicap, telur mata kerbau dan telur dadar. Pada aku itulah lauk yang paling sedap atas muka bumi ini. Tapi oleh kerana mama seorang yang bijak dia telah mencipta nasi kepal. Apa itu nasi kepal? Mari aku cerita..

Ketika hendak menyuapkan aku makan mama akan mengepal ngepalkan dulu nasi bercampur dengan ikan dan kicap. Bila nasi sudah dikepal aku menjadi teruja untuk makan kerana suka melihat bentuknya yang seperti bola itu. Bila sudah selesai makan baru tahu ada ikan di dalamnya. Sejak dari itu aku mula menambah ikan goreng sebagai salah satu menu aku. Terima kasih mamaku yang genius

Tuesday, December 13, 2011

Memori 49


Masa kecil dulu Spider-Man adalah antara superhero yang paling aku suka. Spider-Man mendapat kuasa istimewanya selepas dia digigit oleh seekor labah labah radioaktif. Tetapi pada minda muda aku yang masih tidak faham apa apa pada ketika itu menganggap dia hanya digigit oleh seekor labah labah biasa.

Pada suatu hari aku mendapat idea yang konon kononnya bijak. Aku fikir kenapa tidak biarkan tangan aku digigit oleh labah labah dan kemudian dapatlah aku superpower seperti Spider-Man. Apabila terjumpa saja labah labah terus sahaja aku menghulurkan tangan aku untuk digigit. Selepas itu aku terus cuba meletakkan tapak tangan aku pada dinding dan kemudian tarik perlahan lahan tetapi malangnya tangan aku langsung tidak melekat.

p/s- Sebenarnya labah labah itu tidak mengigit pun jari aku. Ia sekadar berjalan di atas jari aku. Aku anggap sajalah dia sudah gigit aku.

Memori 48


Masa kecil dulu aku bukanlah datang dari keluarga yang senang. Makan pakai pun sekadar cukup cukup sahaja.(Alhamdulillah)

Jika ada duit lebih sikit kami sekeluarga suka makan di KFC. Walaupun ianya sekadar sebuah restoran makanan segera tetapi pada aku ketika itu KFC itu adalah restoran mewah kerana jarang sangat kami mampu makan di situ. Setahun boleh kira berapa kali kami sekeluarga makan

Dulu jika makan di KFC aku suka buat burger buatan sendiri dengan menggunakan roti KFC. Sumbatkan ayam, coleslaw, mashed potato dan sedikit sos di tengah tengah roti yang telah dipotong dan hasilnya.. Tadaa!! Seketul burger DIY yang lazat tetapi cepat habis sebab saiznya yang sangat kecil.

p/s  Err..Sebenarnya sekarang pun aku masih mengamalkan aktiviti membuat burger DIY itu.

Friday, December 9, 2011

Memori 47


Masa kecil dulu bila ternampak suratkhabar The Malay Mail aku akan tertanya tanya. Kenapa suratkhabar bahasa inggeris ini menggunakan nama lelaki melayu sebagai namanya? Istimewa sangatkah 'Mail' ini hingga dijadikan nama suratkhabar?

Memori 46


Masa kecil dulu jika aku ingin turut bermain dengan abang abang yang lebih dewasa dari aku pasti mereka akan  berkata "Ok, Kau main' ta ya pa wau' je bob". Pada mulanya aku langsung tidak tahu apakah maksud 'ta ya pa wau' itu. Tetapi oleh kerana hendak turut bermain aku iyakan saja. Jangan salah faham ianya langsung tidak ada kena mengena dengan tayar ataupun permainan wau bulan.

Ta ya pa wau ini sebenarnya lebih kurang bermaksud kita menjadi 'pemain tipu'. Apa saja yang terjadi kepada pemain 'ta ya pa wau' ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada permainan. Senang cakap pemain yang tidak penting langsung sekadar memeriahkan permainan saja. Selalunya budak budak kecil yang belum dianggap mampu untuk bersaing dengan mereka yang dewasa akan menjadi pemain 'ta ya pa wau'.

Tuesday, December 6, 2011

Memori 45



Masa kecil dulu aku selalu keliru dengan banyak perkara. Salah satunya ialah aku keliru untuk mengenal pasti antara pelakon Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dan juga pelakon Connie. Pada aku pada ketika itu wajah mereka berdua memang 100% serupa.

Tetapi bila sudah sedikit dewasa aku tengok balik sebenarnya memang tidak serupa langsung. Aku juga pernah terkeliru antara pelakon Ramona Rahman dan Julia Rais. Walaupun pada ketika itu aku tidaklah kecil sangat. Ternyata aku seorang 'pengkeliru' orangnya.

Monday, December 5, 2011

Memori 44


Masa kecil dulu aku tidak tahu kenapa jika membaca majalah kartun aku suka mula membaca dari mukasurat belakang. Tetapi untuk komik yang ceritanya lebih dari 1 mukasurat aku tetaplah kena baca dari awal cerita cuma aku suka mulakan pembacaan dari belakang.
 Nasib baiklah sewaktu berjalan aku tidak jalan mengundur jika tidak sudah pasti aku handal membuat tarian Moonwalk.

Memori 43


Masa kecil dulu jika membaca aku pasti akan membaca dengan mengeluarkan suara. Mama selalu berpesan supaya membaca dalam hati kerana agak pencemaran bunyi bila suara aku yang nyaring ini membaca.

Aku berasa sangat pelik kerana aku tidak faham apa itu 'membaca dalam hati'. Puas juga aku memaksa hati aku untuk membaca tetapi menemui kegagalan. Tidak lama kemudian tanpa aku memaksa dengan sendirinya aku dapat membaca dalam hati.  Baru puas hati aku.

Memori 42


Masa kecil dulu jika mahu tahu apa isi kandung cerita dalam sesebuah komik aku selalu memaksa mama tolong bacakan. Ketika aku sudah mula mampu membaca dengan sendiri aku rasa dunia ini cukup indah sekali. Indah kerana aku sudah boleh ketahui isi cerita dalam komik tanpa bantuan mama lagi.

Jadi tidak perlu tunggu mama habis memasak untuk ketahui isi cerita komik yang aku mahu baca. Pengertian membaca sendiri untuk seorang budak kecil yang sangat minat komik adalah sangat sangat besar. Umpama mendapat hadiah yang sangat hebat.

Saturday, December 3, 2011

Memori 41


Masa kecil dulu aku sangat suka makan kuih kacang. Kuih kacang ini banyak dijual di kedai kedai runcit dengan harga 5 sen sebiji kalau tidak silap aku. Aku tidak tahu nama sebenar makanan itu. Mama mengelarkannya kuih kacang jadi nama itulah yang aku guna hingga kini.

Selalunya mama akan belikan dalam 5 atau  6 biji untuk aku. Tetapi 5,6 biji itu tidak aku habiskan sekali gus kerana aku sayang mahu habiskan makanan yang sedap. Jadi aku akan makan sedikit dan kemudian simpan. Tidak lama selepas itu baru aku akan makan balik dan begitulah seterusnya.

Sekarang mama masih belikan untuk aku. Jika pergi ke rumah beliau selalunya akan ada kuih kacang ini. Jika dulu mama belikan aku 5 atau 6 biji tapi kini mama belikan satu balang terus. Terima kasih mamaku yang comel.

Friday, December 2, 2011

Memori 40


Masa kecil dulu selain menonton tv3 aku juga selalu menonton rancangan rancangan dari RTM, kerana dua stesen tv itu sajalah yang wujud pun pada ketika itu.

Setiap kali dalam perjalanan pergi ke rumah mak cik aku di Shah Alam pasti aku akan ternampak Angkasapuri dari dalam kereta. Mama seperti biasa akan memberi info info yang dia tahu kepada aku. "kalau Bop nak tau ini angkasapuri. Dekat sinilah stesen tv RTM" Begitulah lebih kurang kata kata mama.

Jadi minda muda aku mulalah membuat teori sendiri tanpa merujuk kepada sesiapa dan hasilnya aku merumuskan di dalam Angkasapuri terdapat semua pelakon dan penyanyi Malaysia berkumpul kerana RTM banyak menyiarkan drama dan rancangan hiburan. Fikir aku lagi jika aku masuk ke dalam Angkasapuri pasti aku akan dapat berjumpa dengan mereka semua. Wow! Bestnya.

Wednesday, November 30, 2011

Memori 39


Masa kecil dulu aku teringin sangat hendak menaiki kuda. Tetapi memandangkan aku masih kecil aku terfikir kalau dapat naik keldai pun sudah memadai.

Aku pun seperti biasa mulalah membodek mama untuk membelikan aku keldai dan seperti biasa jugalah bodekkan aku di tolak mentah mentah oleh mama. Selepas itu mulalah aku mencari alternatif lain hingga kambing pun aku rasa logik untuk ditunggang. Nasib baik aku tidak teruskan, jika tidak pasti aku telah ditendang oleh kambing tersebut.

Memori 38


Masa kecil dulu ada sejenis permainan yang selalu aku main bersama kawan kawan. Permainan itu dikenali dengan nama 'main monyet'

Caranya mudah. Cuma perlukan 3 orang pemain dan sebiji bola. Salah seorang perlu duduk di tengah dan kedua pemain lagi membaling bola sesama sendiri sementara pemain yang di tengah harus cuba merampas bola itu. Jika lontaran bola yang dibaling permain pertama dapat ditangkap oleh 'monyet' maka dia pula yang akan mengambil alih tugas sebagai 'monyet' dan begitulah seterusnya.

Pernah pada suatu hari aku bermain di rumah kawan dan menyuruh adiknya untuk menjadi monyet tetapi tiba tiba aku dimarah oleh nenek mereka "berani kau panggil cucu aku monyet ya?"

Memori 37


Masa kecil dulu jika mama mahu buat Milo panas untuk aku, pasti aku akan menyibuk sama di dapur. Bukan sebab mahu tolong tetapi sebab aku mahu 'cukai' mama  serbuk Milo.

Setiap kali buat air Milo sudu yang terakhir itu serbuk Milo-nya bukan masuk ke dalam gelas tetapi masuk ke dalam mulut aku. Meratah Milo memang sangat lazat dan tidak menjemukan. buktinya sehingga aku sudah mempunyai 2 orang anak pun aku masih mengamalkannya.

Monday, November 28, 2011

Memori 36


Masa kecil dulu selain menghembus ke muncung kapal terbang kertas/roket untuk membuatnya terbang tinggi aku dan kawan kawan juga ada cara lain yang lebih genius kononnya.

 Caranya ialah dengan membuat modifikasi pada roket kami itu. Cara yang pertama ialah dengan mengoyak sedikit pada bahagian belakang roket dan kemudian naikkannya ke atas. Cara kedua pula ialah dengan melipat sedikit pada sayap roket. Cara ketiga ialah kegemaran aku. Mudah saja. Ambil pensil atau pen dan kemudian gulungkan sedikit pada sayap roket.

 Apabila sudah siap digulung balinglah ke udara dengan bersungguh sungguh. Anda pasti akan gembira melihat roket itu membelah udara dengan pelbagai gaya bebas.

Saturday, November 26, 2011

Memori 35


Masa kecil dulu antara permainan yang paling best ialah kapal terbang kertas atau lebih dikenali dengan panggilan 'roket' oleh aku dan kawan kawan. Ada dua jenis roket. Satu jenis yang agak tirus dan panjang dan satu lagi sayapnya lebih lebar.

 Sayap yang lebih lebar itu penerbangannya lebih akrobatik dan hebat. Seperti biasa mamalah yang menjadi cikgu mengajar aku membuat kapal terbang kertas ini.
Semasa bermain roket ini kami juga ada satu kepercayaan karut  yang telah diperturunkan kepada kami oleh orang orang terdahulu.

Kepercayaannya ialah, jika mahu roket anda terbang tinggi kita perlu meletakkan muncung roket tersebut di depan mulut yang ternganga dan kemudian hebuskan nafas dalam 2 atau 3 kali. Selepas itu balinglah dengan sekuat hati ke udara.

Friday, November 25, 2011

Memori 34


Masa kecil dulu jika aku menonton sukan yang mempunyai 2 pihak yang berlawanan aku akan bertanya mama pasukan mana baik dan pasukan mana jahat. Tidak kiralah sukan bolesepak atau sukan badminton sekalipun . Jenuhlah mama hendak menjawab soalan soalan 'bijak' dari  aku itu.

 Mungkin idea soalan ini bertitik tolak dari terdengar perbualan orang dewasa ketika mereka menonton sukan gusti WWF (sekarang WWE). Jadi aku kira semua sukan ada pasukan baik dan pasukan jahat.

Memori 33


Masa kecil dulu ketika aku baru mengenal nombor, mama selalu tanya aku untuk mengetahui waktu bila beliau memasak di dapur. Tapi aku ketika itu masih keliru dengan sistem minit yang ada pada jam. Jadi mama seperti biasa memberi aku tips agar aku dapat menjawab soalan setiap kali ditanya.

 Caranya ialah aku hanya perlu menyatakan jarum pendek menunjuk  pada nombor apa dan jarum panjang menunjuk pada nombor apa. Terima kasih kepada mamaku yang bijak seperti sang kancil itu.

Wednesday, November 23, 2011

Memori 32


Masa kecil dulu bila dengar mama beritahu yang aku tidak lama lagi akan bersekolah aku jadi panik. Sebab aku  dari kecil memang sentiasa bersama mama.

Hinggakan aku meletakkan syarat jika mahu aku ke sekolah. Syaratnya ialah mama haruslah menjadi cikgu di sekolah aku itu. Sudah tentulah syarat merepek aku itu tidak ditunaikan dan bersekolahlah aku seorang diri dengan jayanya selepas itu. Alhamdulillah.

p/s- Semasa aku berumur 6 tahun sepatutnya aku masuk ke sekolah tadika tetapi oleh kerana mama kenal seorang cikgu di sebuah sekolah rendah, aku dibantu oleh beliau untuk terus diserapkan ke darjah 1.Maknanya aku memang langsung tiada kenangan bersekolah tadika. Bila tahun seterusnya kawan kawan sekelas naik kedarjah 2. Aku terpaksa duduk di dalam darjah 1 lagi sebab baru berumur 7 tahun. Agak sedih juga ditinggalkan kawan kawan ketika itu.

Tuesday, November 22, 2011

Memori 31



Masa kecil dulu aku pernah mengalami satu kejadian yang sangat mengeri dan mengelikan. Pada suatu pagi yang tenteram ketika aku baru bangun dari tidur tidak semena mena aku terasa ada benda sejuk di belakang badanku dan tiba tiba benda itu bergerak gerak dengan laju.

Aku dengan rasa panik yang tiada taranya itu pun melompat lompatlah sambil mengibas ngibas baju. Tiba tiba terjatuh di atas katil satu mahluk yang cukup mengerikan. Mahluk itu tidak lain dan tidak bukan ialah cicak. (tiba tiba geli geleman pulak aku)

Monday, November 21, 2011

Memori 30



Masa kecil dulu aku fikir yang dunia orang orang dahulu kala memang tidak berwarna seperti mana filem filem lama. Fikir aku pasti mereka bosan kerana hidup di dalam dunia yang hanya ada hitam dan putih. Bagaimana pula agaknya lampu isyarat mereka ketika itu ya.

Sunday, November 20, 2011

Memori 29


Masa kecil dulu selain boleh dijadikan tempat membuat stunt, kusyen juga selalu aku jadikan seni binaan. Binaan yang kerap aku lakukan ialah membina terowong. Apabila terowong siap dibina dengan jayanya aku pun dengan bergayanya merangkaklah di dalam terowong itu dengan berbekal bermacam macam imaginasi di dalam minda.

Friday, November 18, 2011

MEmori 28


Masa kecil dulu mama tidak perlu risau untuk pantau aku bermain di luar walaupun beliau berada di dalam rumah. Ini kerana mama akan tetap tahu aku di mana tanpa perlu melihat.

Jangan salah faham. Mama bukan mutant yang ada superpower cuma aku yang mempunyai suara yang amat nyaring dan pitching yang sangat tinggi. Sudahlah suara nyaring mulut aku pula kuat bercakap ketika bermain, jadi mama akan sentiasa dengar suara aku walaupun beliau membuat kerja di dapur.

Memori 27

Masa kecil dulu mama pantang betul kalau ada dia hidang makan atau minum untuk tetamu aku datang menyibuk juga mahu makan atau minum.

Sebelum tetamu datang mama selalu berpesan "Yang ini untuk orang nak datang kejap lagi tau. Bop jangan sibuk sibuk. Bop kalau nak makan ambil yang kat dapur ni"
Aku hanya mengangguk tanda faham setiap kali menerima arahan. Tetapi yang peliknya bila tetamu sudah sampai dan jamuan yelah dihidangkan aku tiba tiba seperti orang hilang ingatan dan aku tanpa rasa was was akan terus turut menjamu selera bersama para tetamu.

 Setelah tetamu pulang apalagi berbekaslah badan aku dengan kesan hanger baju. (Ini adalah senjata mama yang paling aku alergik sekali)

Thursday, November 17, 2011

Memori 26

Masa kecil dulu, ketika aku berumur sekitar 5 tahun agak banyak juga animasi dari jepun yang dialih bahasa  kebahasa melayu dimainkan di tv.

 Ketika itu aku berasa sangat kagum. Bukan kagum dengan cerita dalam animasi itu tetapi aku kagum kerana pada masa itu aku fikirkan yang animasi itu semua ialah hasil dari produksi Malaysia kerana ia berbahasa melayu. Untuk minta kepastian tiada tempat untuk aku rujuk. Bukan seperti zaman sekarang semua boleh digoogle.

Tanya pada mama pun beliau bukan ambil tahu pun mengenai animasi ini semua. Jadi untuk beberapa ketika aku pun terus mengagumi 'animasi Malaysia' itu.

Memori 25


Masa kecil dulu sekitar tahun 80an adalah era rock yang sangat hebat di Malaysia. Boleh dikatakan hampir 90% pemuda ketika itu minat dan berimejkan seorang rocker tahap kental.

Pada ketika itu untuk jumpa pemuda yang berambut pendek amatlah susah. Lebih senang untuk menjumpai perempuan berambut pendek dari lelaki berambut pendek pada ketika itu. Jika berjalan jalan di bandar dengan mama aku ada juga cuba cuba untuk mencari kalau kalau ada terjumpa lelaki yang berambut pendek dan selalunya memang tidak akan berjumpa.

Jika aku fikirkan balik orang orang yang berimejkan rock ini bolehlah aku ibaratkan sebagai orang yang kuat semangat dan penyabar kerana mampu mengharungi hidup dengan pakaian yang ketat,sendat menyelendat dan rambut panjang yang mengerbang tanpa mengenal erti rimas. Rock n Roll brother!

Memori 24


Masa kecil dulu aku amat sakit hati bila tiba tiba perut rasa memulas mulas untuk 'melepaskan hajat' tetapi tandas tiada dalam kawasan terdekat.

Seperti biasa mama aku yang kaya dengan bermacam petua itu telah memberitahu aku satu cara bagaimana mahu membuat rasa memulas mulas itu kurang atau hilang terus. Caranya ialah dengan memegang kepala kemudian menyebut punggung dan selepas itu dengan cepat memegang punggung dan menyebut kepala.

Lakukannya berulang ulang kali dengan konsisten dan penuh yakin sampai anda jumpa dengan tandas yang terdekat.Walaupun dengar seperti tidak logik langsung tetapi selalunya ia berkesan masa aku kecil dulu.

Memori 23



Masa kecil dulu aku selalu keluar bersiar siar dengan mama. Ketika itu mama masih muda dan comel(sekarang lagi comel) jadi ada saja abang abang yang cuba untuk mengurat mama.

 Aku pantang betul dengan abang abang yang tidak makan saman seperti ini. Apalagi dengan suara aku yang nyaring pun aku marahlah sesiapa yang cuba untuk mengurat mama aku. Antara ayat yang aku masih ingat, aku gunakan untuk marah mereka ialah "Dia dah kahwin la!!"

Mereka langsung tidak menunjukkan reaksi takut malahan berkata "Amboi garangnya dia" Sambil tergelak gelak.


Tuesday, November 15, 2011

Memori 22


Masa kecil dulu, ibu bapa mesti marah kalau kita ber'aku', 'kau' dengan kawan kawan. Hingga ada kawan kawan aku yang berkata kepada aku "Bop, mak saya katakan, kalau kita cakap 'aku' nanti kita jadik hantu paku tau" Kata beliau dengan muka yang serius.

 Aku pun percaya sajalah kerana mak dia yang beritahu perkara itu. Masakan orang dewasa mahu menipu. Mereka juga yang menasihati kita supaya jangan menipu kerana menipu itu berdosa.

 Jenuh juga aku cuba membayangkan macamanalah rupa hantu paku itu.


Monday, November 14, 2011

Memori 21


Masa kecil dulu aku selalu menonton tv bersama mama.
Bila tiba cerita berbahasa inggeris disiarkan aku menjadi tidak puas hati kerana dari visualnya nampak seperti cerita yang menarik tapi aku tidak faham cerita itu mengenai apa kerana ianya dalam bahasa inggeris.

 Mamalah yang  menjadi penterjemah untuk aku.
aku akan memaksa mama baca sarikata/subtitle dengan kuat agar aku boleh faham cerita yang sedang disiarkan.
Terima kasih mamaku sayang

Memori 20

Masa kecil dulu kalau berjalan dengan kawan kawan menuju ke satu tempat pasti akan ada salah seorang dari kami yang tiba tiba berlari sambil menjerit "Siapa lambat dia gila!".

 Apalagi semua pun lintang pukanglah berlari sebab takut menjadi orang yang terakhir dan akan digelar gila. Itu adalah salah satu dari ayat yang digunakan. Sebenarnya ada lagi ayat ayatnya tapi biarlah 1 ayat ini saja jadi contoh. Walaupun aku tahu yang aku tidak akan betul betul jadi gila jika menjadi orang yang terakhir. Tetapi aku tetap akan berlari dengan bersungguh sungguh.


Sunday, November 13, 2011

Memori 19


Masa kecil dulu aku telah diajar oleh mama untuk membuat sejenis makanan yang sangat sedap. Ketika itu aku rasa itulah makanan yang paling sedap dalam dunia.

Hanya perlu sediakan sebiji asam boi dan sebiji limau kasturi. Caranya mudah ya puan puan ( wah! macam rancangan memasak pula). Mula mula potong limau kasturi tadi dengan penuh kasih sayang dan kemudian sumbat asam boi secukup rasa ke tengah tengah asam boi yang sudah di potong tadi. Tadaaa!! Sudah siap.

Apa yang perlu dilakukan seterusnya ialah sedut asam boi sumbat limau tadi dengan bersungguh sungguh. (Peh! Terliur pula rasanya)


Memori 18


Masa kecil dulu aku sangat suka melihat orang bermain kasut roda. Perasaan aku pun mula meronta ronta untuk cuba bermain tapi malangnya usaha aku memujuk rayu mama untuk beli tidak berjaya kerana harganya sangatlah mahal pada ketika itu.

 Untuk melepaskan gian aku telah membuat satu keputusan drastik dengan mengorbankan kereta mainanku untuk aku jadikan kasut roda. Caranya mudah sahaja. Cuma perlu pijak sahaja kereta kereta mainan itu dan kemudian jalan. Sebenarnya tidaklah sama bermain dengan kasut roda  yang sebenar kerana ianya lebih kepada terseret dari bergolek.

 Tapi pada ketika itu aku cuba sebaik mungkin meyakinkan diri aku yang aku sedang bermain kasut roda yang sebenar.

Saturday, November 12, 2011

Memori 17

Masa kecil dulu jika jika menonton cerita ninja di television kerap aku nampak mereka menggunakan bom asap untuk menghilangkan diri. Terkesima aku dengan teknik itu.

Sebagai seorang ninja aku juga perlukan bom asap tetapi di mana boleh aku dapatkannya? Minda kreatif aku bekerja untuk mencari jawapannya dan akhirnya aku jumpa apa yang aku cari. Jawapannya ialah 'bedak!' Cara menggunakan bom asap ciptaan aku ialah dengan menggengam sebanyak mungkin bedak di tanganku. Langkah seterusnya aku berdiri di depan mama dan kemudian meniup bedak yang aku genggam tadi dengan sekuat hati hingga ia berterbangan dan menyerupai seakan akan asap.

 Bila 'bom asap' sudah dilepaskan aku pun berlari sekuat hati untuk mencari tempat persembunyian. Jika tidak mama akan nampak aku.

Memori 16


Masa kecil dulu, selain meminati watak superhero aku juga sangat meminati ninja. Aku memang suka hero yang bertopeng agaknya. Apa yang membuat aku bertambah seronok bila aku boleh membuat sendiri topeng/sarung kepala ninja.

Aku tidak ingat pula siapa yang mengajar aku, tapi caranya memang sangat mudah dan senang didapati bahan yang diperlukan. Aku hanya perlu mencari sehelai t-shirt yang lehernya bulat. Lagi best jika dapat t-shirt berwarna hitam. Caranya ialah dengan menyarung t-shirt ke kepala, letakkan bahagian leher baju itu di mata kemudian pegang kedua dua lengan baju itu dan ikatkannya di belakang kepala. Tadaa!! Sudah siap topeng ninja yang sangat bergaya.

 Selepas bergaya di depan cermin dengan gaya ninja yang aku main hentam saja aku pun terus membuat serang hendap di dalam rumah sendiri. Sedaya upaya aku berlari tanpa mengeluarkan sebarang bunyi tapak kaki sambil dalam hati berkata " Fuih! tak bunyi langsung aku lari. Aku memang berbakat untuk jadi ninja yang sebenar". Rupa rupanya orang lain pun boleh buat juga begitu.

Memori 15


Masa kecil dulu minum air panas seperti milo dan teh adalah antara aktiviti yang menyeronokkan pada aku. Bukan seronok sebab rasanya, tapi seronok dengan teknik minum yang digunakan.

 Aku adalah jenis budak yang tidak sabar. Jadi jika air sedang panas memang agak mutahil untuk aku minum terus tanpa mencederakan kerongkong. Hendak tunggu air itu menjadi sejuk agak memakan masa. Jadi mama aku telah ajar satu teknik yang sangat berkesan untuk membuat air itu cepat sejuk dan boleh diminum tanpa perasaan segan silu. Caranya ialah tuangkan air panas itu ke dalam piring dan kemudian ditiup tiup sekejap ia pun akan menjadi tidak berapa panas dan kemudian bolehlah diminum dengan penuh rasa bahagia.

 Tapi jangan pula letak piring itu di lantai dan minum. Sudah seperti kucing pula. Angkatlah piring itu dengan penuh tatasusila dan hirup perlahan lahan dan rasailah kenikmatannya.

Friday, November 11, 2011

Memori 14


Masa kecil dulu keluarga aku suka bawa aku mandi air terjun di Bukit Belacan dan Templer Park. Itu juga adalah antara aktiviti paling cool untuk aku pada masa itu.

 Air sungai di sana memang tidak dalam. Jika aku berdiri pun hanya paras pinggang dan ada bahagian yang lebih cetek hanya paras tulang keting aku saja. Antara aktiviti yang aku sering lakukan di sana ialah berpura pura berenang. Oleh kerana air yang cetek, jadi jika aku meniarap pun tangan dapat mencecah ke dasar sungai. Aku pun apa lagi, mulalah menghayun hayunkan tangan persis orang sedang berenang.

Didalam hati aku berkata "Mesti orang kata budak ini kecil lagi sudah pandai berenang"
Padahal semua orang boleh nampak yang tangan aku jejak ke dasar sungai kerana air sungai yang jernih.

Memori 13


Masa kecil dulu  kalau bermain ada saja yang suka main pukul pukul kepala. Pada ketika itu kepecayaan aku dan kawan kawan aku jika kena pukul kepala boleh membuat kita jadi bodoh.

Tapi jangan risau kerana ada cara untuk mengatasi masalah itu. Jika kepala dipukul atau ditampar, cepat cepat ketuk di bawah dagu berulang ulang kali. Pada aku kelakuan itu agak pelik dan aku tidak faham bagaimana dengan mengetuk dagu boleh menyelamatkan keadaan.

Dalam aku berfikir begitu tangan aku tetap mengetuk ngetuk dagu kalau kepala aku dipukul. Risau juga jadi bodoh. Takut bila besar nanti tidak boleh kahwin.

Thursday, November 10, 2011

Memori 12


Masa kecil dulu aku banyak salah faham mengenai sesuatu perkara. Antaranya ialah lambang stesen minyak SHELL.

 Ketika itu jika aku melihat lambang itu akau akan nampak yang ianya ialah buah nenas yang sudah di potong. Mungkin kerana warnanya kuning. Selalu aku bingung apa kaitan nenas dengan stesen minyak? Setelah aku mengerti apa itu maksud SHELL baru aku tahu gambar itu ialah gambar apa.





Memori 11


Masa kecil dulu aku telah mencipta satu helah untuk tidak dapat dikesan orang jika aku mahu 'membuang angin'.

Jika aku berada berdekatan dengan orang lain dan tiba tiba angin dari perutku meronta ronta ingin keluar aku akan membuat dengan mulut bunyi bunyian seakan bunyi 'angin' itu. Jadi Jika 'angin' itu keluar sekali dengan bunyi bunyian itu maka orang sekitarku tidak akan dapat mengesannya.

Tapi malangnya helah aku itu telah dapat dikesan oleh abang sepupuku (abang Ja). Selepas itu aku pun digelakkan oleh beliau tanpa belas kasihan

Aku pun tidak pasti bagaimana dia boleh mengesannya. Mungkin dia pakar dalam bunyi bunyian.

Memori 10


Masa kecil dulu mama selalu suruh aku pergi ke kedai membeli barang. Aku budak yang agak pelupa (dah tua ni pun sama jugak)

Jadi kadang kadang untuk membeli 3 jenis barang pun mama akan tulis di kertas dan kadang kadang tulis atas duit kertas yang akan aku bawa untuk bayar barang yang bakal aku beli nanti. Ya! Tulis atas duit kertas dan duit itu akan di terima oleh tuan kedai runcit tanpa sebarang was was. Tugas aku mudah saja. Pergi saja ke kedai dan hulurkan saja duit kertas itu pada tuan kedai tanpa perlu aku yang pemalu ini berkata apa apa. Rasanya zaman itu bukan mama aku seorang saja yang buat kerja macam ini. Orang lain juga buat kerana aku pernah dapat duit yang sudah sedia ada tertulis senarai barang yang hendak dibeli pada duit itu.

Sekarang jangan buat pula ya. Tidak pasal pasal menerima makian tanpa sempadan dari taukeh kedai nanti.