manusia awesome

Thursday, August 16, 2012

Memori 77


       Masa kecil dulu selalu balik kampung (Muar) dengan menaiki bas ekspress. Sebelum menaiki bas pasti aku akan suruh mama belikan dulu aku majalah kartun untuk dijadikan peneman dalam perjalanan jauh. Di Puduraya ketika itu memang best sebab berderet kedai kedai menjual majalah.

     Antara majalah yang aku suka beli ketika itu ialah Gila gila, Gelihati, Humor, Gelagat. Tapi aku kena pilih salah satulah. Puaslah aku tercegat depan kedai mamak jual majalah sambil aku belek satu persatu untuk membuat pilihan yang tepat lagi mantap.

    Bas mula bergerak aku pun mulalah membaca majalah kartun kegemaranku itu. Belum pun setengah jam bas berjalan aku sudah rasa seperti mahu muntah. Begitulah setiap kali naik bas jika mahu jalan jauh. Tidak pernah dapat baca habis majalah yang aku beli. Akhirnya di kampung juga aku sambung 'study'

Saturday, August 11, 2012

Memori 76


Masa kecil dulu kalau berpuasa memang badan jadi sangat penat dan super malas. Lebih lebih lagi bila sudah petang petang sedikit. Rasa seperti tiada tenaga langsung. Mahu bergerak kemana mana pun berfikir banyak kali.

Jika aku mahu bergerak dari satu tempat ke tempat lain yang jaraknya tidak beberapa jauh, contohnya jika mahu menukar siaran tv (dulu tiada remote control) aku hanya akan bergolek golek di lantai. Begitu sekali tahap malasnya. Unta padang pasir pun tidak malas macam aku..

Friday, August 10, 2012

Memori 75


Masa kecil dulu kalau berpuasa benda pertama yang menghantui jiwa ialah rasa haus yang tiada tolok bandingnya. Baru pukul 10 pagi sudah rasa sangat kering tekak macam baru balik jongging.

Tapi aku yang bijak ini telah jumpa satu penemuan yang genius pada aku ketika itu. Penemuannya ialah 'minum tanpa batal puasa'. Dengar macam tidak logik saja bukan? Caranya sangat mudah. Tidak perlu modal pun, cuma perlukan skill individu sahaja.

Apa yang aku buat ialah aku akan kumpul air liur aku sebanyak mungkin dan kemudian aku akan telan dan hasilnya aku langsung tidak hilang haus. Malah lebih haus dari sebelumnya..
(Padan muka kau bop yang kecil.)

Maaf kalau cerita kali ini sedikit meloyakan. Sekadar bercerita kisah benar seorang budak bernama Bop.


Thursday, August 9, 2012

Memori 74


      Masa kecil dulu kalau hendak berpuasa memanglah sesuatu yang mustahil  bagi pemikiran logik aku ketika itu. Semasa berumur 6 tahun begitu aku mula diajar untuk berpuasa. Mama kata kalau tidak boleh puasa penuh, puasa setengah hari saja.

   Walaupun jarak masanya hanya sampai tengahari tetapi pada aku ketika itu rasa hidup ini sudah tiada ertinya lagi. Selepas bulan ramadhan pula jika kawan kawan bertanya aku puasa berapa hari, dengan keyakinan dicampur bongkak yang tidak berbelah bagi aku menjawab " aku puasa 15 hari"

      Macamana boleh jadi 15 hari? Katakan sebulan aku berpuasa setengah hari. Jadi setengah hari ini aku campurkan dengan setengah hari esoknya jadilah 1 hari. Kalau dicampur semua  sebulan dapatlah 15 hari. Pada aku ketika itu puasa setengah hari itu memang puasa yang betul betul. Kawan kawan lain hanya terkebil kebil memandang lubang hidungku yang kembang kuncup bangga tidak sudah.





Memori 73


Masa kecil dulu aku seakan ada sejenis penyakit misteri. Penyakitnya ialah aku tidak boleh lalu di depan peti ais. Dengar saja sudah pelik bukan? Apa akan jadi kalau aku lalu juga?

Jika aku lalu di depan peti ais pasti aku akan singgah dan buka peti ais tersebut dan menjengguk ke dalamnya. Walaupun aku tau di dalamnya tiada apa apa yang menarik tetapi aku hendak buat juga. Kadang kadang aku mengharap akan ada makanan atau minuman yang best muncul dengan tiba tiba bila aku buka. Dari kecil sampai ke besar suka berangan yang bukan bukan.