manusia awesome

Thursday, November 10, 2011

Memori 9


Masa kecil dulu ketika sedang bermain tiba tiba salah satu gigi aku (yang memang longgar) tercabut. Aku jadi panik dan  terus berlari pulang ke rumah.

 Setibanya di rumah aku terus menuju ke bilik dan mengunci pintu. Mama turut panik melihat kelakuan aku itu. Agak lama dia mengetuk pintu bertanya ingin tahu apa yang terjadi. Pada ketika itu aku rasa diriku sudah cacat kerana hilang satu gigi. Apabila aku sudah keluar bilik aku terus minta mama untuk buatkan aku gigi palsu. Mula mula mama tercengang kemudian dia mengelakkan aku tanpa segan silu sambil berkata "Nanti gigi Bop akan tumbuh lagilah"

Wah! Tiba tiba aku rasa dunia kembali indah

Tuesday, November 8, 2011

Memori 8


Masa kecil dulu mama beritahu aku supaya ucap Alhamdulillah jika sedawa. Selepas itu pantang bersedawa aku akan ucap Alhamdulillah. Kadang kadang ada masanya selepas makan aku bersedawa
banyak kali dan bertalu talu dan bertalu talu jugalah Alhamdulillah aku.

Alhamdulillah, syukur kita kepada setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita.

Memori 7




Masa kecil dulu aku selalu kena marah dengan mama sebab menguap buka mulut besar besar sehingga boleh nampak paru paru aku (maaf aku membesar besarkan cerita)

 " Jangan buka menguap buka mulut besar besar Bop, nanti berebut syaitan masuk mulut" mama takut takutkan aku.

Tapi selalunya bila menguap aku akan lupa pesan mama aku itu dan selepas selesai menguap dengan jayanya baru aku akan teringat.

Jadi bila teringat saja aku terus akan meludah ludah( gaya saja tanpa disertakan air liur ya)
Kononnya mahu keluarkan syaitan yang masuk ke dalam mulut. Bijaklah konon.

Memori 6


Masa kecil dulu Spider-man adalah antara superhero yang aku rasa paling cool kerana selain animasi dan komik dia juga telah dijadikan siri tv (live action). Oleh kerana aku mengidam baju a.k.a costume Spider-man tidak dapat kerana harganya sangatlah mahal untuk keluarga sederhana macam aku pada ketika itu, maka terhasillah topeng Spiderman DIY ciptaan aku.

Bagaimana caranya? Dapatkan alas meja yang berupa jaring jaring (tak tau la sekarang orang guna lagi ke tak?) dan kaca mata hitam.

Kemudian pakai kacamata itu dan disusuli dengan memakai jaring alas meja tadi di seluruh kepala dan muka anda. Tadaa!! Terhasillah topeng Spider-man DIY yang pada aku sudah sangat cool pada tika itu.
(sebenarnya tak best langsung)


Memori 5


    Masa kecil dulu mati mati aku ingat  ada orang duduk dalam radio dan television. Walaupun sudah dijelaskan oleh mama yang dalam television dan radio tiada orang, yang ada hanyalah wayar wayar.

Fikir aku mustahil tiada orang di dalamnya. Jika tidak mana datangnya suara dan  lagu lagu itu semua? Jadi  untuk memastikan yang aku betul, aku selalu mengintai intai di celah celah speaker radio untuk melihat di dalam radio itu dengan harapan akan ternampak orang kenit berkerja di dalamnya. Speaker radio aku dulu jaring jaringnya agak besar dan boleh nampak di bahagian dalam tapi malangnya apa yang aku nampak hanyalah habuk.

Tapi kalau betul betul ada orang kenit dalam radio dan television mesti cool habis.


Memori 4


Masa kecil dulu ketika berumur lingkungan dalam 2 tahun  aku pernah jatuh dalam perigi. Membuat terjunan tiruk atau balik kuang aku tidak pasti. Sebab aku langsung tiada memori mengenai aku jatuh dalam perigi ini.

Mama aku beberapa kali menceritakan perkara ini pada aku hingga aku tidak pernah lupa akan mengenainya. Di belakang rumah aku dulu ada sebuah perigi terbiar yang hanya ditutupi dengan zink zink buruk. Entah bagaimana ketika mama sedang memasak aku berjaya meloloskan diri dari kawalan dan keluar dari rumah dan akhirnya perjalananku tamat di dalam perigi.

Cerita mamaku lagi, sebaik saja dia jumpa aku dalam perigi itu aku sudah tengelam dan hanya jari kelingkingku saja yang mamaku sempat capai dan menarik aku keluar dari perigi tersebut. Alhamdulillah aku selamat tanpa sebarang kecederaan. Terima kasih mama. Bop sayang mama sangat sangat.


Monday, November 7, 2011

Memori 3



Masa kecil dulu aku suka sangat menonton cerita aksi hingga aku turut membuat aksi sendiri di ruang tamu rumah aku. Minda kreatif muda aku ketika itu menyuruh aku menyusun kusyen kusyen sofa rotan (sofa jenis ini sangat top dulu). Apabila sudah disusun aku pun dengan lagak seorang 'action hero' pun melompatlah berulang ulang kali dengan pelbagai gaya bebas yang pada aku sudah cukup 'cool' pada masa itu. Bila fikir balik agak bahaya juga lagak ngeri yang aku buat ketika itu. Mujurlah aku tidak melambung balik dan melekat ke dinding.

Memori 2


Masa kecil dulu, ketika baru baru mengenal huruf dan angka aku selalu menulis huruf dan angka secara rawak di atas kertas. Kemudian aku akan menyuruh mama baca apa yang aku tulis itu. Tapi tidak pernah mama dapat membunyikan apa yang aku tulis itu. Aku seperti tidak dapat menerima kenyataan dalam banyak banyak yang aku tulis itu langsung tidak mempunyai maksud dan bunyi. Kecewa sungguh aku ketika itu.

Memori 1

Assalamualaikum. Salam perkenalan. Nama aku Mohd Hairy bin Baharum atau lebih dikenali dengan nama Bophairy. Jadi mari aku mulakan 'Masa kecil dulu' dengan memori yang ini


Masa kecil dulu sebelum tidur adalah kewajipan untuk aku makan biskut lemak/biskut kering yang bersaiz kecil dan direndam ke dalam air milo panas. Masa itu aku rasa itulah benda paling lazat dalam dunia. Sekarang ini tidak pasti masih wujud lagi atau tidak biskut jenis ini. Rugilah kalau tidak ada, kerana ianya sangat sedap.

(Sekarang pun aku masih mengamal cara hidup makan biskut lemak dengan air panas. Cuma biskutnya lebih besar dan airnya bergilir gilir antara kopi dan milo. Ikut mood aku)